17 July 2009

TAA'DUD JAMAAH : SATU PANDANGAN

Semenjak 1926, kaum Muslimun tidak mampu untuk membentuk jamaah Islamiyyah yang satu di bawah satu kepimpinan di satu negara. Oleh itu, kita dapati di satu negara, wujudnya persatuan-persatuan di atas asas ilmu, persatuan-persatuan yang dibina untuk kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan dan kesatuan-kesatuan yang berdiri di atas asas fikrah atau politik yang luas. Sehingga kita mendapati adanya peribadi-peribadi yang tidak beriltizam dengan mana-mana tanzim. Penelitian al-Quran dan Sunah telah mendedahkan beberapa sebab perselisihan atau perpecahan ini. Sebab-sebab tersebut telah disusun oleh Al Ustaz Said Hawa ;
A). Tidak mengikuti jalan Allah.Firman Allah Taala;
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menuruti jalan-jalan yang lain daripada Islam, kerana jalan-jalan yang lain itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertakwa” (surah Al-An’am:153)



B). Melupai satu juzu' daripada agama Allah.Firman Allah Taala
“Dan di antara orang-orang yang berkata:’Bahawa kami ini orang-orang nasrani’ , Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan sebahagian daripada apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka sampai ke hari kiamat dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang telah mereka kerjakan.”(surah Al-Maidah:14)


C. Hasad dengki dan marah-memarahi.Firman Allah Taala;
“Dan umat tiap-tiap Rasul tidak akan berpecah-belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka pengetahuan (apa yang disuruh dan apa yang dilarang) berlakunya (perselisihan yang demikian itu) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri.”(surah Asy-Syura:14)

Rasulullahsalallahualaihi wasalamtelah mentafsirkan (البغي) dengan sabdanya:
[Telah merebak di kalangan kamu penyakit umat-umat sebelum kamu iaitu hasad-dengki dan marah-memarahi .Ia adalah pencukur.Aku tidak berkata pencukur yang mencukur rambut. Sesungguhnya ia adalah pencukur yang mencukur agama ](riwayat Ahmad dan Tirmizi)

D. Tidak Beraqal (Mementingkan nafsu daripada kitab Allah).
Firman Allah Taala :
“(Orang-orang Yahudi dan munafiq) dengan keadaan bersatu padu sekali pun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbentang kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya) permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras , engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka.”(surah al-Hasyr:14)

E). Tidak bersatu hati untuk akhirat dan tidak zuhud dengan dunia. ]
Sabda Rasulullah salallahualaihi wasalam:
[ Tidak akan dibuka dunia kepada seseorang melainkan Allah akan melontarkan perasaan permusuhan dan marah-memarahi di kalangan mereka sehingga hari kiamat ](riwayat Ahmad dan Al-Bazzar)

F). Tiada rahmat Allah.
Firman Allah Taala:
“Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh tuhanmu (mereka bersatu di dalam ugama Allah) dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu :”Sesungguhnya Aku akan memunuhi neraka jahanam dengan sekalian jin dan manusia berdosa”.(surah Hud : 118-119)
Allah telah menyebut sifat-sifat mereka yang layak mendapat rahmat Allah. Firman Allah ;
“Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong kepada setengah yang lain, mereka menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada kemungkaran dan mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat serta taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha kuasa lagi Maha Bijaksana.”(surah at-Taubah:71)
Kecuaian pada salah satu daripada sifat ini bererti kecuaian pada kesatuan umat Islam.
G). Mengidap empat penyakit.
a) Kedekut yang ditaati.
b) Hawa nafsu yang diikuti.
c) Dunia yang dilebihi.
d) Kagum dengan pandangan sendiri.

Seorang telah datang bertanya Abu Tha’labah Al-Khasyari dan bertanya; ”Bagaimana engkau beramal dengan ayat ini?". Abu Tha’labah bertanya; ”Ayat mana?” Lelaki itu berkata, firman Allah;
“Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah diri kamu. Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudharat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayat petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangannya) Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu balasan apa yang kamu telah lakukan”. (surah al-Maidah:105)
Abu Tha’labah menjawab, “Demi Allah aku pernah bertanya Rasulullah salallahualaihi wasalam tentang ayat ini. Baginda bersabda;
[ Bahkan kamu suruhlah dengan kebaikan dan cegahlan kemungkaran sehingga, apabila engkau melihat kekikiran yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti, dunia yang dilebihi dan kagum setiap yang mempunyai pandangan dengan pandangannya. Wajib ke atas engkau dengan diri engkau dan tinggalkan orang awam. Sesungguhnya di belakang kamu adanya hari-hari, seorang yang sabar padanya seperti seorang yang menggenggam besi panas. Pekerja Islam pada hari itu dianugerahkan ganjaran seperti lima puluh orang yang beramal dengan amalan kamu. Rasulullah ditanya ;”Wahai Rasulullah ! Ganjaran lima puluh orang dari kalangan kami atau mereka .” Rasulullah menjawab; Bahkan ganjaran lima puluh daripada kamu ] (Tirmizi berkata hadis hasan gharib sahih).


No comments:

Post a Comment